Tuesday, October 29, 2024

Berebut tandas

Hari ini saya duduk di saf hadapan selepas memasuki pintu 88. Kawasan muslimat masih lengang ketika saya tiba selepas sarapan pagi tadi. Sejadah baharu hadiah daripada pekedai di sini saya hamparkan. Barisan rak al-Quran tersusun rapi. Ia memisahkan kami dengan barisan saf kaum muslimin di hadapan. Di sebelah saya seorang perempuan bertudung kelabu, berkulit cerah dan tinggi orangnya.

Alamak, panggilan tandas sudah sampai. Saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Tak pernah lagi pergi tandas seorang diri. Teringat cerita Kak Yat yang menangis apabila terpaksa membuat pusingan yang jauh ketika ke tandas dan ingin kembali ke masjid semula. Nekad menegur rakan baharu, beg peribadi ini saya titipkan kepadanya.

Saya membawa telefon bimbit dan beg uncang kasut. Nah, tiba sahaja di tandas nombor 7, kehadiran jemaah luar biasa. Yalah, musim haji baru berakhir. Jemaah belum beransur pulang ke negara masing-masing. Banyak kejadian berlaku semasa menunggu tandas. Sudah dua kali saya ditolak ke tepi ketika tiba giliran saya. Aduhai, sabarlah hati. Yang menolak pun sudah berusia. Pasti keadaannya lebih memerlukan daripada saya.

Tiba-tiba satu tangan besar menghadang pintu tandas.