Tuesday, October 29, 2024

Berebut tandas

Hari ini saya duduk di saf hadapan selepas memasuki pintu 88. Kawasan muslimat masih lengang ketika saya tiba selepas sarapan pagi tadi. Sejadah baharu hadiah daripada pekedai di sini saya hamparkan. Barisan rak al-Quran tersusun rapi. Ia memisahkan kami dengan barisan saf kaum muslimin di hadapan. Di sebelah saya seorang perempuan bertudung kelabu, berkulit cerah dan tinggi orangnya.

Alamak, panggilan tandas sudah sampai. Saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Tak pernah lagi pergi tandas seorang diri. Teringat cerita Kak Yat yang menangis apabila terpaksa membuat pusingan yang jauh ketika ke tandas dan ingin kembali ke masjid semula. Nekad menegur rakan baharu, beg peribadi ini saya titipkan kepadanya.

Saya membawa telefon bimbit dan beg uncang kasut. Nah, tiba sahaja di tandas nombor 7, kehadiran jemaah luar biasa. Yalah, musim haji baru berakhir. Jemaah belum beransur pulang ke negara masing-masing. Banyak kejadian berlaku semasa menunggu tandas. Sudah dua kali saya ditolak ke tepi ketika tiba giliran saya. Aduhai, sabarlah hati. Yang menolak pun sudah berusia. Pasti keadaannya lebih memerlukan daripada saya.

Tiba-tiba satu tangan besar menghadang pintu tandas.

Sunday, July 28, 2024

Panas macam oven

 Cuaca mencecah suhu 50 hingga 54 darjah celcius menjelang hari haji. Kekal hidrasi dengan banyakkan minum air. Setiap kali minum saya berdoa supaya Allah berkati air yang diminum dan membuatkan saya kurang ke bilik air. Seronok disembur dengan air sejuk oleh tentera-tentera sepanjang kami berjalan kaki menunaikan haji. Saya perhatikan di sini, mereka akan menebuk lubang pada botol minuman dan menghalakan air kepada jemaah pejalan kaki. Sekurang-kurangnya lega sedikit daripada kepanasan melampau.

Khemah D yang saya duduki sepanjang berada di Mina mengalami kerosakan penghawa dingin. Sesekali diterpa juga rasa angin tetapi tidak menyejukkan. Sebahagian besar rakan sekhemah memakai kipas angin sendiri. Sangat berguna kipas kecil itu. Perlu dicas apabila kehabisan bateri. Ada rakan yang membawa extension pelbagai guna dan banyak plak. Sangat membantu rakan lain.

Menjelang hari kedua, jam baru 9.30 pagi ketika saya pulang ke khemah. Dalam kehangatan suasana, saya terlelap sekejap. Namun terjaga tidak lama kemudiannya. Kepala terasa sangat panas. Saya melihat sekeliling dan menangkap mata Izzati, teman sebilik di Mekah. Izzati membuat isyarat, "Jom kak!". Saya terus bangun dan keluar menyarung kasut.

Hari ini jemaah haji yang membuat nafar awal akan pulang ke Mekah. Maka sudah pasti ada khemah yang akan kosong. Lantas, misi mencari khemah yang mempunyai kemudahan yang lebih selesa untuk rakan-rakan lain. Jumpa! Khemah A yang berhampiran dengan pintu utama Maktab 80 kami pilih . Khemah ini telah dikemas oleh penghuninya. Tilam sudah tersusun rapi, sampah telah dibersihkan dan lebihan buah-buahan dan air kotak diletakkan di suatu sudut.

Kami menyusun tilam dalam satu baris dan diletakkan penanda. Lalu kembali ke khemah dan memberitahu rakan-rakan terdekat. "Cik Ju, kami nak pindah khemah. Sana ada aircond yang baik. Jemaah nafar awal sudah pulang," saya mencuit bahu Cik Ju. Dengan pantas Cik Ju angkat begnya dan mengikut kami. Di kemudian hari, barulah saya tahu tika itu Cik Ju hampir menangis kerana tak tahan dengan haba. Dia berdoa supaya dapat tempat yang lebih baik. Apabila mendapat pelawaan kami, dia rasa mahu menangis. Katanya, bukan nak mengeluh tapi sebagai manusia ada hadnya juga menyebabkan dia berdoa begitu.

Pahala Sebesar Gunung Uhud

Solat di hotel atau di masjidil haram? Kedua-duanya tetap dapat pahala tetapi ada satu perkara yang akan kita terlepas iaitu solat jenazah. 


"As-solatu 'alal amwati....."


Astaudiukumullah

Jumaat, 2 Jun 2023.

Seawal pagi sudah menerima kedatangan tetamu. Ahli keluarga, saudara-mara, jiran terdekat dan rakan-rakan hadir sebelum kami memulakan perjalanan. Mentua dan mak ayah saya turut siap sedia dari awal. Mak mentua mahu turut serta menghantar kami ke Movenpick.

Terima kasih kepada al-Fadil Ustaz Adib yang membaca doa, Kak Long Akashah dan suami, Pak Cik Jamil dan Mak Cik Emy, Kak Suzani dan suami, Dr Wan, Kak Farisah sekeluarga, kak long dan abang long, Kak Yah dan adik ipar bongsu Afifi yang sama-sama hadir.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Doa ini kami titipkan kepada mak ayah, anak-anak dan semua yang ditinggalkan. Semoga dalam peliharaan dan jagaan Allah selama kami bermusafir. 



Toyota Serena Dr Wan meluncur laju di atas jalan raya. Perjalanan yang lancar sehingga kami tiba ke Movenpick Sepang. Alhamdulillah, ternampak papan tanda arah ke Movenpick membuatkan hati semakin berdebar dan bergetar. Barang-barang diturunkan di lobi Movenpick. Orang semakin memenuhi ruang. 



Bertamu di rumah kenalan

 Ketika melalui lorong-lorong sempit menuju rumah Tuan Rafiq, keadaan sekeliling dicermati. Rumahnya berada di atas bukit. Mungkin sekitar 6 kilometer dari tempat penginapan kami. Berlari-lari anak saya mengejar Tuan Rafiq dan suami. Memang bersenam sungguh saya. Demam, sila tahan dahulu ya. Langit semakin bertukar warna menandakan waktu maghrib hampir tiba. Melintasi jalan-jalan besar, rupanya ada banyak lagi hotel dan kedai di kawasan ini.

"Biasanya kita tengok kawasan orang kaya arab, hari ini kita lihat kawasan golongan bawahan," bual suami ketika mendaki bukit. Saya melihat banyak pangkin dibuka dan disusun di luar kedai sepanjang laluan pejalan kaki. Ibarat melihat nat kecil di Perlis suatu waktu dahulu.

Monday, September 11, 2023

Mina antara ujian dan nikmat

Mina, bandar tiga hari dalam setahun ini benar-benar penuh dengan jutaan jemaah haji. Tahun ini berlaku pula kejadian paip tandas pecah sehingga melimpahi Maktab 82. Kasihannya mereka terpaksa menahan limpahan kumbahan yang masuk membasahi tilam di dalam khemah. Pihak masyariq bertungkus-lumus menyelesaikan masalah. Sementara di maktab lain, kami membawa bekalan dua hingga tiga botol air mineral semasa menyelesaikan hajat di tandas.

Melontar tiga jamrah

 Melontar tiga jamrah pada tiga hari iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah rukun haji yang berulang. Uncang batu berwarna oren yang diberi oleh Tabung Haji saya keluarkan. Cukup-cukup tujuh biji batu digenggam. Jemaah haji Malaysia biasanya melontar di tingkat tiga. Pantas langkah kaki diatur menuju jamrah pertama. "Bismillah, allahuakbar!" Lafaz diucap setiap kali batu dibaling ke arah jamrah. Pastikan berada betul-betul di tepi tebing baru baling. Ia dapat mengelak batu terkeluar dan terkena orang.