Cuaca mencecah suhu 50 hingga 54 darjah celcius menjelang hari haji. Kekal hidrasi dengan banyakkan minum air. Setiap kali minum saya berdoa supaya Allah berkati air yang diminum dan membuatkan saya kurang ke bilik air. Seronok disembur dengan air sejuk oleh tentera-tentera sepanjang kami berjalan kaki menunaikan haji. Saya perhatikan di sini, mereka akan menebuk lubang pada botol minuman dan menghalakan air kepada jemaah pejalan kaki. Sekurang-kurangnya lega sedikit daripada kepanasan melampau.
Khemah D yang saya duduki sepanjang berada di Mina mengalami kerosakan penghawa dingin. Sesekali diterpa juga rasa angin tetapi tidak menyejukkan. Sebahagian besar rakan sekhemah memakai kipas angin sendiri. Sangat berguna kipas kecil itu. Perlu dicas apabila kehabisan bateri. Ada rakan yang membawa extension pelbagai guna dan banyak plak. Sangat membantu rakan lain.
Menjelang hari kedua, jam baru 9.30 pagi ketika saya pulang ke khemah. Dalam kehangatan suasana, saya terlelap sekejap. Namun terjaga tidak lama kemudiannya. Kepala terasa sangat panas. Saya melihat sekeliling dan menangkap mata Izzati, teman sebilik di Mekah. Izzati membuat isyarat, "Jom kak!". Saya terus bangun dan keluar menyarung kasut.
Hari ini jemaah haji yang membuat nafar awal akan pulang ke Mekah. Maka sudah pasti ada khemah yang akan kosong. Lantas, misi mencari khemah yang mempunyai kemudahan yang lebih selesa untuk rakan-rakan lain. Jumpa! Khemah A yang berhampiran dengan pintu utama Maktab 80 kami pilih . Khemah ini telah dikemas oleh penghuninya. Tilam sudah tersusun rapi, sampah telah dibersihkan dan lebihan buah-buahan dan air kotak diletakkan di suatu sudut.
Kami menyusun tilam dalam satu baris dan diletakkan penanda. Lalu kembali ke khemah dan memberitahu rakan-rakan terdekat. "Cik Ju, kami nak pindah khemah. Sana ada aircond yang baik. Jemaah nafar awal sudah pulang," saya mencuit bahu Cik Ju. Dengan pantas Cik Ju angkat begnya dan mengikut kami. Di kemudian hari, barulah saya tahu tika itu Cik Ju hampir menangis kerana tak tahan dengan haba. Dia berdoa supaya dapat tempat yang lebih baik. Apabila mendapat pelawaan kami, dia rasa mahu menangis. Katanya, bukan nak mengeluh tapi sebagai manusia ada hadnya juga menyebabkan dia berdoa begitu.
No comments:
Post a Comment