Mina, bandar tiga hari dalam setahun ini benar-benar penuh dengan jutaan jemaah haji. Tahun ini berlaku pula kejadian paip tandas pecah sehingga melimpahi Maktab 82. Kasihannya mereka terpaksa menahan limpahan kumbahan yang masuk membasahi tilam di dalam khemah. Pihak masyariq bertungkus-lumus menyelesaikan masalah. Sementara di maktab lain, kami membawa bekalan dua hingga tiga botol air mineral semasa menyelesaikan hajat di tandas.
Monday, September 11, 2023
Melontar tiga jamrah
Melontar tiga jamrah pada tiga hari iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah rukun haji yang berulang. Uncang batu berwarna oren yang diberi oleh Tabung Haji saya keluarkan. Cukup-cukup tujuh biji batu digenggam. Jemaah haji Malaysia biasanya melontar di tingkat tiga. Pantas langkah kaki diatur menuju jamrah pertama. "Bismillah, allahuakbar!" Lafaz diucap setiap kali batu dibaling ke arah jamrah. Pastikan berada betul-betul di tepi tebing baru baling. Ia dapat mengelak batu terkeluar dan terkena orang.
Jangan buka tudung
"Ibu-ibu, jangan buka tudung. Jaga aurat. Kita masih dalam ihram." Saya terpinga-pinga mendengar arahan itu. Diam-diam buku catatan dibuka. 13 larangan dalam ihram haji atau umrah :
1. Memakai pakaian bersarung bagi lelaki.
2. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya untuk lelaki.
3. Menutup muka bagi perempuan.
4. Memakai sarung tangan
5. Memakai bau-bauan di bahagian badan, makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung.
6. Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi.
7. Menanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan.
8. Memotong kuku.
9. Memotong, menebang, mengerat atau mencabut pokok-pokok di tanah haram Mekah.
10. Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di tanah haram.
11. Melakukan pendahuluan persetubuhan.
12. Bersetubuh.
13. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.
Hmm.. tiada pula disebut orang perempuan perlu menjaga aurat selama belum selesai rukun haji? Adakah jemaah itu keliru dengan larangan bagi lelaki? Sebenarnya, jika berada sesama perempuan batas aurat yang perlu dijaga tidaklah sama batas aurat kita dengan orang lelaki ajnabi. Kasihan melihat jemaah lain yang terikut dengan saranan itu. Ambil wuduk pun dengan keadaan lengkap menutup aurat. Bukankah sukar mereka mahu merapikan wuduk?
Sunday, September 10, 2023
Sesat
Tawaf - jalan kaki versus skuter
Allah ya Allah. Tiba juga saya ke masjidilharam. Air mata bercucuran tanpa mengira orang sekeliling Inilah jalan kaki paling jauh dalam hidup saya setakat ini. Semua itu tidak dihiraukan sebaliknya fokus kepada menunaikan rukun haji sesempurna mungkin. Keringat yang membasahi badan terasa lega tatkala menjejakkan kaki ke pintu masjid. Suami menepuk-nepuk bahu saya, "100 meter di rumah pun sayang mengah nak jalan, inikan pula 12 kilometer! Masya-Allah. Moga dapat haji mabrur." Segala puji bagi Allah.
Jalan kaki ke Makkah
Pintu 88
Hajjah 827
Kesemua ahli bilik kami sudah siap berkemas. Dr Nurma, Kak Su, Makcik Hanum dan Makcik Juwita sudah bersiap dengan bagasi masing-masing. Kami bergambar kenangan terlebih dahulu sebelum bergerak turun ke lobi. Selepas ini, masing-masing akan berpisah bilik apabila berada di Makkah. Dr Nurma dan Kak Su akan ke bilik lain manakala saya dan dua orang lagi akan menjadi teman sebilik di Makkah. Biar pun sekejap sahaja menjadi teman, semuanya baik dan saling membantu alhamdulillah.
Antara sunnah dan bidaah
"Baca Quran sahaja. Baca Quran sahaja."
Begitu suara yang menegur sekumpulan jemaah warga Asia yang sedang melagukan qasidah di dalam masjid. "Mereka baca apa?" Soalan diajukan kepada suami yang berjalan beriringan dengan kumpulan itu tadi. "Mereka baca qasidah. Tak boleh buat begitu. Sunnahnya baca al-Quran bukan menyanyi di dalam masjid."
Meriah Madinah
Malam ketiga di Madinah, kami keluar masjid dari pintu yang lebih jauh. Biasanya pintu 328 menjadi tempat berjanji untuk pertemuan kembali pulang dari masjid sebab itu yang lebih dekat dengan Hotel Saja kami. Langit Madinah cerah. Suasana malamnya juga meriah dengan suara kanak-kanak bermain di dataran. Ada banyak deretan kiosk berbatu tersusun seragam di sekitar Masjid Nabawi.
Baru juga saya ketahui orang perempuan Saudi sudah dibenarkan keluar bekerja. Yalah, jam sudah menghampiri 10 malam tetapi di kaunter kedai masih lagi sibuk dengan pelanggan berjual beli. Jika dahulu pekerja semuanya lelaki, kini tidak lagi.
Astaudiukumullah.
"Ikhlaskan. Orang yang pergi haji memang berniat tidak akan kembali lagi. Jika boleh mati di sana, itu lebih baik."
Lebat tangisan diri tatkala mendengar amanat suami. Hati hiba mengenangkan anak kecil yang masih menyusu badan itu berada jauh di selatan tanah air tatkala kami melangkah kaki keluar rumah memulakan perjalanan ke Movenpick, Sepang. Kaum keluarga, sanak saudara, jiran terdekat serta rakan-taulan hadir mengiringi bacaan doa pada pagi itu. Subhanallah. Terima kasih semua yang mendoakan serta membantu. Hanya Allah dapat membalas sebaik-baik ganjaran.
Melihat kelibat mak ayah dan mentua, doa dipanjatkan agar semuanya sihat sejahtera dan dipanggil menjadi tetamu-Nya dalam keadaan terbaik. Sungguh masih ada rasa serba-salah apabila mak ayah belum menerima panggilan haji tahun ini sebaliknya kami pergi dahulu. "Jangan susah hati. Insya-Allah Allah bagi yang terbaik. Doakan mak ayah," ucap emak menenangkan kami.
Restu mak ayah
"Tuan, puan boleh masukkan nama ahli keluarga yang membuat rayuan haji tahun ini," ujar pegawai Tabung Haji di kaunter. Saya segera mengiakan. Borangnya telah saya isi awal-awal dengan mengisi enam nama ahli keluarga termasuk diri sendiri dalam borang menunaikan haji. Saya letakkan nama suami, mak ayah saya, kakak ipar serta suaminya. Pegawai terus menyemak seperti yang disebut dan berkata, "Keputusan ini akan diketahui sebelum tarikh akhir rayuan ditutup. Kami pun tak tahu siapa yang dapat, siapa tak dapat. Berdoalah."
Wasiat untuk anakanda
"Jangan lupa wasiat untuk anak-anak," pesan saya kepada suami. Beliau selesai menyusun beg di tepi pintu. Esok kami akan bertolak ke Movenpick dihantar oleh rakan. Hati yang berbalut resah semakin tenang megenangkan semua persiapan sudah siap. Anak-anak sudah pulang ke rumah nenek manakala dua orang yang kecil sudah berada di Muar. Ya Allah, semoga mereka baik-baik sahaja tidak menyusahkan orang yang menjaganya.
Anak-anak duduk dengan siapa?
Libang-libu hati dengan pelbagai urusan. Semakin hampir tarikh akhir, semakin sesak kepala dirasakan. Bertenang. Istighfar. Itu yang dilakukan sesungguh hati sekarang. Bulan puasa juga terasa pantas berlalu. Waktu malam apabila semua orang sudah tidur, saya masih memikirkan dengan siapa anak-anak akan tinggal sepanjang permusafiran kami. Adakah ke sekolah tahifz berasrama atau tinggal bersama nenek dan datuk? Siapakah yang sanggup menjaga kesemua enam orang anak ini?
Thursday, September 7, 2023
Silaturrahim
"Ya Sheikh, jemput ke rumah saya esok petang!"
Saya yang sedang memilih jubah menoleh ke arah penutur bicara itu. Kelihatan salah seorang pekerja sedang seronok berbual dengan suami. Di dalam fikiran saya ligat berfikir. Sekiranya menerima jemputan, pastilah kami perlu penuhi dan ajakan ini bukan sekadar ajak-ajam ayam, bukan? Wah, macam mana boleh diajak ke rumah?
Rahsia Jodoh
Tengahari itu, suami muncul di hotel dengan membawa pulang buah tangan. Saya yang baru kebah dari demam duduk bersama mencicip roti dan ayam yang diberi. Diceritakan beliau pulang berjalan kaki dengan seorang jemaah dari Bangladesh. Cuaca terik dan pakcik itu menawarkan payung yang dibawa. Beliau datang menunaikan haji seorang diri. Isterinya baru meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji. Hiba hatinya, isteri anugerah ilahi, apabila tiada terasa pengorbanannya, dan sukar dicari ganti.
Teringat Surah ar-Rum ayat 21,
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."
Kad ATM Tak Boleh Guna
'Fast food' Arab
Kepala ayam yang berjambul merah dan putih itu saya lihat ada di beberapa tempat di sini. Al-Baik namanya. Mungkin makanan segera di sini. Ada juga KFC, McDonalds, Burger King dan seumpamanya. Sama seperti di tempat kita. Namun, peluang mencuba makanan di sini pasti tidak dilepaskan. Dapat pula pasangan yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab, panjang langkah di sini jadinya. Tetapi saya tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada suami.
Ada waktu ruangan perempuan dikhususkan dan boleh berurusan sendiri. Masalah bahasa? Insya-Allah tiada. Sebahagian besar pekerja di sini boleh berbahasa Indonesia. Memudahkan orang seperti saya yang tidak mahir berbahasa arab. Hidangan al-Baik yang sedap seperti ayam goreng, nugget dan burgernya. Portion mereka besar. Terkejut waktu pertama kali membeli. Boleh dikongsi dengan rakan sebilik seramai lapan orang itu.
Nasi Unta
Puasa
Pemurahnya orang Arab
Di sini, hati terasa tenang. Orang di sekeliling juga baik-baik. Tidak kira warna kulit hitam, putih, coklat, merah jambu tidak begitu kekok memberi salam di jalanan.
Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian (Hadis riwayat Muslim)
Di jalanan, banyak sekali air minuman disedekahkan kepada pejalan kaki atau jemaah haji. Sungguh, ia suatu kesyukuran yang besar. Ada di kalangan mereka yang sudah berjalan kaki berpuluh batu, dahaga pasti menguasai kerongkong. Alangkah sejuknya menerima bekalan air ketika suhu memuncak ketika ini? Barakallahufik buat semua dermawan.