Monday, August 21, 2023

Melontar jamratul aqabah

 Mina. Sebuah kawasan lapang yang dibina khemah-khemah penginapan sementara buat jemaah haji seluruh dunia. "Kobis" ialah lambang maktab kami di sini. Jika sudah terlebih daripada kawasan Kobis, bermakna anda perlu berpatah balik. Maktab 80 hanya dalam lingkungan ini sahaja. Tabung Haji cekap membantu memudahkan dengan adanya label dan penunjuk arah. Namun, berlaku juga kejadian sesat jalan. Terutama buat warga emas yang tidak membawa tag nama masing-masing. 

Usai solat Subuh, saya bersarapan ringan sekadar mengalas perut kerana akan keluar melontar pada pagi ini. Minuman manis jarang saya teguk kecuali kurma dan air zam zam. Sedikit bekalan roti dan air mineral dimasukkan ke dalam beg sandang. Cermin mata hitam dipakai dan botol spray dipenuhkan. Botol ini penting kerana cuaca yang panas menyebabkan kulit jadi kering dan terasa bahang. Semburan air ke muka mampu melegakan.

Mabit di Muzdalifah

 Berakhirnya hari wukuf. Saya kembali ke khemah D menjelang maghrib. Selepas maghrib kami akan bergerak untuk mabit di Muzdalifah. Kami perlu berada di sana sepanjang malam 10 Zulhijjah atau sekurang-kurangnya sehingga tengah malam untuk mengambil pahala sunnah bermalam di Muzdalifah. Mabit adalah berhenti sejenak atau bermalam beberapa hari untuk mempersiapkan segala sesuatu dalam pelaksanaan melontar Jamrah yang merupakan salah satu wajib ibadah haji (shafiqoblu.wordpress.com)

Pentingkan diri

 "Kau nak bawa ke mana beg aku tu?"

Suara makcik kedengaran jelas. Rakan-rakan baharu di sekelilingnya sedang sibuk membantu beliau. Makcik ini tiba-tiba sahaja berubah watak. Meskipun tidak saling mengenali, tetapi saya memuji tindakan pantas dan kerjasama mereka. Makcik ini datang tanpa waris. Urusan dirinya tidak begitu sempurna maka rakan di sekeliling tampil membersihkan beliau. Pihak Tabung Haji pun tidaklah dapat berada di sisi setiap masa. 

Hari Wukuf

 Hari kemuncak yang ditunggu-tunggu. Inilah hari yang menjadi penentu. Ikutkan hari wukuf akan bermula Zohor sehingga sebelum Maghrib (selepas asar sehingga menjelang tengah malam jika di Malaysia). Hari-hari menjelang hari wukuf memang mencabar. Suhu berada di antara 40 darjah celcius sehingga 54 darjah celcius. Ada yang bertanya, tak panaskah? Panas. Memang panas. Tetapi saya fikir Allah memudahkan semuanya. Mungkin badan sudah adaptasi dengan cuaca di sekitar.

Saya meninggalkan khemah seawal waktu dhuha. Tanpa lengah mengikut langkah suami menuju kawasan berpagar di seberang jalan. Mengikuti langsung khutbah hari Arafah yang disampaikan oleh Dato' Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman di sebuah khemah sebuah agensi travel swasta. Hati berdebar dan bersemangat. Tidak pernah menjangkakan Allah izinkan melalui hari wukuf di Arafah. Sangat berbeza suasana dengan keadaan di tanah air.

Antara intipati khutbah hari ini ialah perjalanan menunaikan haji bermula pada hari kelapan bulan Zulhijjah yang dipanggil hari tarwiah, hari kesembilan disebut hari wukuf atau hari Arafah, hari ke-10 dikenali dengan hari raya akbar, hari ke-11 ialah hari tasyrik pertama atau يَوْمُ القَرِّ iaitu hari bertenang, hari ke-12 ialah hari tasyrik kedua atau hari nafar awal iaitu hari pulang awal, hari ke-13 ialah hari tasyrik ketiga iaitu hari nafar awal dan hari ke-14 Zulhijjah ialah hari pulang dari menunaikan haji. Apabila seseorang dapat menyempurnakan hajinya, itulah bahagia selamanya.

Sebak Dalam Debar

Apakah yang diharapkan daripada menunaikan haji?

Berharaplah untuk dapat anugerah haji mabrur. Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.

 Persiapan menuju Arafah telah dibuat dua hari sebelum ini. Jemaah haji akan dipanggil turun menaiki bas mengikut giliran. Land Premium mempunyai 13 tingkat dan semua bekerjasama dengan  baik. Kami masih lagi dengan bas nombor 5. Mak mentua sahaja dapat kami hubungi melalui panggilan video. Suasana sayu mengambil tempat. Kami memohon mak ayah mendoakan kami dipermudah urusan, kesihatan dan mendapat haji yang mabrur. Bagi mak ayah saya, kami dapat rekodkan video sahaja sementelah ada masalah dengan kad sim kami yang baharu.


Sunday, August 20, 2023

Umrah wajib

 2.15 petang 7 Jun 2023 kami berhenti di Masjid Bir Ali untuk miqat. Kami bersiap-siap berniat menunaikan umrah dan kini semua jemaah tertakluk kepada rukun umrah dan perlu mematuhi 13 larangannya. Disebabkan masih uzur syarie ketika sampai di Makkah, suami menunggu supaya dapat melakukan umrah wajib bersama saya. Tak sabar mahu menunaikan umrah. Ia pertama kali dalam hidup.

Rokok

 Madinah ditatap sepuas-puasnya. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini. Umrah pun saya belum pernah tunaikan maka peluang menunaikan haji saya cermati dengan sungguh-sungguh. Hari pertama lagi saya sudah terkejut. Baik jemaah haji kita mahupun penduduk di Madinah, ada sahaja yang berani menghisap rokok. Teringat hadis Nabi SAW yang mengingatkan kita :


Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Teman 604

Maklumat hotel di Mekah telah kami terima melalui pelekat putih yang diberi oleh pihak Tabung Haji semasa di Madinah. Pelekat ini saya lekatkan pada bagasi, kad matrik dan beg sandang. Di antara kami berlima di Madinah, berpecah kepada 2 bilik. Kak Su dan Dr Nurma ke bilik lain manakala saya, Cik Anum dan Cik Juwita ditempatkan di bilik 604. Saya dan suami mencari bilik penginapan. Oh, rupanya kami bersebelahan bilik sahaja. Dia di 603. Alhamdulillah.

Masuk sahaja pintu 604, suasana meriah dengan rakan sebilik yang sedang berkemas. Semua sudah sampai nampaknya.

Saturday, August 19, 2023

Maktab 80 Hotel Land Premium

 "Hotel kita tak jauh dengan masjidilharam. 960m sahaja," ucapan petugas Tabung Haji membuatkan suasana jadi hingar-bingar. Jemaah Haji Malaysia tahun ini ada di empat zon A, B C dan D. Dikatakan hotel kami jarak terjauh berbanding hotel lain. Saya dan suami ditempatkan di Maktab 80 dan akan tinggal di Hotel Land Premium. Saya hanya diam menerima taklimat. Belum terbayang keadaan di Makkah nanti. Suami yang sedikit bimbangkan saya. Semoga asthma tidak menjengah sepanjang 47 hari ini.

Bertolak ke Makkah

Beg kecil merah saya silangkan pada badan. Beg sandang berwarna hijau pun sudah sedia. Kami menunggu giliran dipanggil turun ke lobi hotel. Jangkaan memulakan perjalanan ke Makkah ialah pukul 2.00 petang nanti. Saya melihat jam dan mengira waktu di Malaysia. Panggilan video dibuat ke rumah. Memaklumkan perjalanan kami sebentar lagi. Air mata menitis tetapi cepat-cepat diseka. Tidak mahu orang di rumah bimbangkan kami. Tepat jam 2.00 petang semua jemaah bas nombor 5 sudah bersedia di dalam bas.

=========

Beg-beg pakaian jemaah perlu disiapkan awal kerana beg akan berangkat dahulu sehari sebelum perjalanan. Pelekat perumahan dan tag pada beg masing-masing diedarkan oleh pegawai Tabung Haji. Pelekat dan tag lama dari Madinah perlu dibuka menggantikan tag yang baharu. Kami dinasihatkan supaya menggunakan beg merah berisian 5kg itu sahaja untuk tempoh 8 hingga 13 Zulhijjah ini. Tidak perlu membawa banyak barang memandangkan perlu berpindah-pindah lokasi dan meminimumkan tenaga untuk fokus kepada perjalanan haji.

Saya mengingatkan supaya kain ihram dan kelengkapan bermalam (satu malam) di Arafah diasingkan siap-siap bagi memudahkan jemaah. 


Rabu 7 Jun 2023

Pagi ini 357 orang jemaah KT048 memulakan perjalanan menuju Arafah mengikut pelan perjalanan yang dirancang oleh Tabung Haji. 

Persediaan dhufuyurrahman

 Dalam keadaan masih risaukan akaun TH yang belum cukup tabungannya, sebuah buku nota khas disediakan bagi mencatat segala-galanya. Daripada urusan rasmi, urusan kerja hakiki, senarai barang, persekolahan anak-anak, belanjawan di sana dan keluarga yang ditinggalkan dan curhat ala-ala diari. Beberapa orang kenalan terdekat yang sudah menunaikan haji tampil dengan sukarela memberi bantuan. Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan pertolongan itu.

Menerima surat tawaran

Puasa sudah, Syawal pun sudah. Kami masih menunggu jawapan daripada pihak Tabung Haji akan rayuan suami menjadi mahram. Suasana Aidilfitri tahun ini dirasakan berbeza. Saya melaluinya dengan rasa sederhana dan membuat persiapan untuk menjadi tetamu Allah. Hakikatnya banyak perkara yang difikirkan. Salah satunya ialah persediaan mental sekiranya suami tidak dapat ikut menunaikan haji. Buku Cerita Haji Kami yang diselenggara oleh rakan penulis, Pn Nor Azzah ada sebuah cerita daripada seorang penulis yang menunaikan haji secara solo.

Tahniah, rayuan anda diterima!

 Usai solat Asar, saya terus masuk dapur mahu menyediakan juadah berbuka puasa. Suami ke masjid manakala anak-anak masih di kelas tahfiz. Telefon pintar bergetar. Terus saya buka. Tertera paparan SMS :

RM0 Tuan/puan Terpilih tunai haji pada tahun 1444H. Sila layari www.thijari.com.my untuk jawab tawaran tunai haji. Untuk pertanyaan, hubungi THCC 0362071919




Cemas

 

Tempoh 10 hari akan berakhir menjelang hari Khamis, 20 April 2023. Ia menjadi lebih singkat apabila kerajaan mengumumkan cuti tambahan perayaan bagi semua sektor kerajaan. Saya panik. Sudah masuk hari ketujuh wang belum memenuhi tabung. Doa dan terus berdoa agar duit yang kami usahakan dapat memenuhi syarat. Sungguh, pergantungan sepenuhnya kepada Allah membuatkan diri sangat kerdil dan insaf.


18 April 2023

Sujud syukur saya apabila tabungan telah penuh dan melayakkan saya menerima tawaran haji. Allah ya Allah. Untuk makluman, apabila ditawarkan tempat menunaikan haji pada tahun 2023 ini, jumlah duit di dalam akaun mesti mencukupi sebelum boleh menekan butang terima. Selagi wang tidak cukup, selagi itu proses seterusnya tidak akan berlaku. Selesai sahaja memenuhi syarat bayaran, barulah kad kesihatan jemaah haji diberikan. Jemaah haji perlu menyelesaikan pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat untuk ke tanah suci.

Shawarma

 "Ya Allah, janganlah makanan menjadi isu besar kepada kami semasa berada di sana." Doa yang diulang-ulang sejak menerima tawaran haji. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar di sana. Makanan muassasah yang disediakan oleh Tabung Haji sedap belaka. Makan tengahari dan makan malam disediakan tepat waktunya dan kami perlu mengambilnya di Lantai M, Hotel al-Saja Madinah.

Bau harum shawarma menusuk ke hidung. Waktu itu kami dalam perjalanan menuju Masjid Quba'. Perut terus berkeroncong minta diisi. Maklum, selepas Subuh tadi hanya makan kurma dan air zam zam. Not 10 riyal bertukar tangan. Senyum bahagia saya mendapat shawarma. Suami pun menggelengkan kepala. Memang ini makanan kegemaran sejak dari Malaysia tetapi jarang dapat merasa.

Menuju raudhah

 "Ingat ya, hashtag masuk raudhah jangan berlari," nasihat seorang teman sebilik kami sambut dengan ketawa kecil. Ada kisah disebaliknya.

Raudhah, taman syurga yang menjadi impian setiap orang yang datang ke sini. Masing-masing mahu memasuki dan berdoa di dalamnya.

Hujan rahmat

    Umum mengetahui cuaca panas di bumi Haramain ini sangat jarang disimbahi hujan. Berbanding kita di Malaysia dengan iklim Khatulistiwa menerima hujan sepanjang tahun. Sungguh, bahang panas di sini membuatkan diri mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita berupa hujan. Awal-awal berada di sini, saya akan segera memakai mask atau niqab dan cermin mata. Keluar sahaja dari pintu hotel, terasa haba panas dari jalan raya naik terus ke hidung dan muka. 

    Tik, tik, tik.

    Ramainya orang keluar ke luar bangunan. Masya-Allah, hujan turun.

Jaulah ke Masjid Quba'

 "Dahulu Rasulullah SAW berjalan ke Masjid Quba' pada hari Sabtu dan menunaikan solat sunat dua rakaat di sana." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

    "Selepas subuh bersiap. Kita sarapan di luar dan jalan kaki ke Masjid Quba'," pesan suami usai pulang dari Masjid Nabawi. Saya hanya mengangguk. Kepala terasa berdengung. 'Ini petanda tak cukup tidur'. Terasa bimbang tekanan darah naik tetapi saya berdoa supaya sihat-sihat sahaja. Sebelum keluar, rakan sebilik dimaklumkan supaya mereka tahu keberadaan kami. Ada yang berehat di bilik sahaja memandangkan kami baru sahaja sampai tengah malam tadi.

Ya Rasulullah, kami hadir ke masjidmu

    Usai mendarat jam 12.30 pagi waktu Madinah, perasaan sebak bercampur teruja masih mendominasi diri. Kami memberi laluan kepada penumpang lain untuk turun dahulu. Ternampak seorang anak istimewa berkerusi roda bersama ayahnya menaiki bas lapangan terbang terlebih dahulu. Senyum sahaja dia sambil dibantu staf penerbangan. 

    "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada kejahatan ciptaan-Nya." Lafaz tiga kali perlahan saya tuturkan. Ia sunnah nabi apabila berhenti di sesuatu tempat.

Thursday, August 17, 2023

Rayuan haji

Cita-cita menunaikan haji bagaikan mustahil untuk dicapai. Perlukan wang yang banyak, tidak cukup ilmu agama dan bimbang perkara aneh berlaku menjadi penghalang untuk ke sana. Namun, Allah Maha Baik sentiasa memperingatkan hamba-Nya ini melalui kenalan di sekeliling. Melihat seorang demi seorang ahli keluarga mendapat panggilan haji juga berjaya mengetuk pintu hati ini.