Hari kemuncak yang ditunggu-tunggu. Inilah hari yang menjadi penentu. Ikutkan hari wukuf akan bermula Zohor sehingga sebelum Maghrib (selepas asar sehingga menjelang tengah malam jika di Malaysia). Hari-hari menjelang hari wukuf memang mencabar. Suhu berada di antara 40 darjah celcius sehingga 54 darjah celcius. Ada yang bertanya, tak panaskah? Panas. Memang panas. Tetapi saya fikir Allah memudahkan semuanya. Mungkin badan sudah adaptasi dengan cuaca di sekitar.
Saya meninggalkan khemah seawal waktu dhuha. Tanpa lengah mengikut langkah suami menuju kawasan berpagar di seberang jalan. Mengikuti langsung khutbah hari Arafah yang disampaikan oleh Dato' Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman di sebuah khemah sebuah agensi travel swasta. Hati berdebar dan bersemangat. Tidak pernah menjangkakan Allah izinkan melalui hari wukuf di Arafah. Sangat berbeza suasana dengan keadaan di tanah air.
Antara intipati khutbah hari ini ialah perjalanan menunaikan haji bermula pada hari kelapan bulan Zulhijjah yang dipanggil hari tarwiah, hari kesembilan disebut hari wukuf atau hari Arafah, hari ke-10 dikenali dengan hari raya akbar, hari ke-11 ialah hari tasyrik pertama atau يَوْمُ القَرِّ iaitu hari bertenang, hari ke-12 ialah hari tasyrik kedua atau hari nafar awal iaitu hari pulang awal, hari ke-13 ialah hari tasyrik ketiga iaitu hari nafar awal dan hari ke-14 Zulhijjah ialah hari pulang dari menunaikan haji. Apabila seseorang dapat menyempurnakan hajinya, itulah bahagia selamanya.
No comments:
Post a Comment