Saturday, August 19, 2023

Bertolak ke Makkah

Beg kecil merah saya silangkan pada badan. Beg sandang berwarna hijau pun sudah sedia. Kami menunggu giliran dipanggil turun ke lobi hotel. Jangkaan memulakan perjalanan ke Makkah ialah pukul 2.00 petang nanti. Saya melihat jam dan mengira waktu di Malaysia. Panggilan video dibuat ke rumah. Memaklumkan perjalanan kami sebentar lagi. Air mata menitis tetapi cepat-cepat diseka. Tidak mahu orang di rumah bimbangkan kami. Tepat jam 2.00 petang semua jemaah bas nombor 5 sudah bersedia di dalam bas.

=========

Beg-beg pakaian jemaah perlu disiapkan awal kerana beg akan berangkat dahulu sehari sebelum perjalanan. Pelekat perumahan dan tag pada beg masing-masing diedarkan oleh pegawai Tabung Haji. Pelekat dan tag lama dari Madinah perlu dibuka menggantikan tag yang baharu. Kami dinasihatkan supaya menggunakan beg merah berisian 5kg itu sahaja untuk tempoh 8 hingga 13 Zulhijjah ini. Tidak perlu membawa banyak barang memandangkan perlu berpindah-pindah lokasi dan meminimumkan tenaga untuk fokus kepada perjalanan haji.

Saya mengingatkan supaya kain ihram dan kelengkapan bermalam (satu malam) di Arafah diasingkan siap-siap bagi memudahkan jemaah. 


Rabu 7 Jun 2023

Pagi ini 357 orang jemaah KT048 memulakan perjalanan menuju Arafah mengikut pelan perjalanan yang dirancang oleh Tabung Haji. 

No comments:

Post a Comment