Monday, September 11, 2023

Mina antara ujian dan nikmat

Mina, bandar tiga hari dalam setahun ini benar-benar penuh dengan jutaan jemaah haji. Tahun ini berlaku pula kejadian paip tandas pecah sehingga melimpahi Maktab 82. Kasihannya mereka terpaksa menahan limpahan kumbahan yang masuk membasahi tilam di dalam khemah. Pihak masyariq bertungkus-lumus menyelesaikan masalah. Sementara di maktab lain, kami membawa bekalan dua hingga tiga botol air mineral semasa menyelesaikan hajat di tandas.

Melontar tiga jamrah

 Melontar tiga jamrah pada tiga hari iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah rukun haji yang berulang. Uncang batu berwarna oren yang diberi oleh Tabung Haji saya keluarkan. Cukup-cukup tujuh biji batu digenggam. Jemaah haji Malaysia biasanya melontar di tingkat tiga. Pantas langkah kaki diatur menuju jamrah pertama. "Bismillah, allahuakbar!" Lafaz diucap setiap kali batu dibaling ke arah jamrah. Pastikan berada betul-betul di tepi tebing baru baling. Ia dapat mengelak batu terkeluar dan terkena orang.

Jangan buka tudung

 "Ibu-ibu, jangan buka tudung. Jaga aurat. Kita masih dalam ihram." Saya terpinga-pinga mendengar arahan itu. Diam-diam buku catatan dibuka. 13 larangan dalam ihram haji atau umrah :

1. Memakai pakaian bersarung bagi lelaki.

2. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya untuk lelaki.

3. Menutup muka bagi perempuan.

4. Memakai sarung tangan

5. Memakai bau-bauan di bahagian badan, makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung.

6. Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi.

7. Menanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan.

8. Memotong kuku.

9. Memotong, menebang, mengerat atau mencabut pokok-pokok di tanah haram Mekah.

10. Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di tanah haram.

11. Melakukan pendahuluan persetubuhan.

12. Bersetubuh.

13. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.


Hmm.. tiada pula disebut orang perempuan perlu menjaga aurat selama belum selesai rukun haji? Adakah jemaah itu keliru dengan larangan bagi lelaki? Sebenarnya, jika berada sesama perempuan batas aurat yang perlu dijaga tidaklah sama batas aurat kita dengan orang lelaki ajnabi. Kasihan melihat jemaah lain yang terikut dengan saranan itu. Ambil wuduk pun dengan keadaan lengkap menutup aurat. Bukankah sukar mereka mahu merapikan wuduk?



Sunday, September 10, 2023

Untungnya menguasai bahasa Arab

 "500  riyal? La', la'," keras suara suami membalas.

Sesat

Saya terus kembali ke Khemah D. Jam sudah 2.15 pagi dan saya memang target mahu tidur sementara azan subuh 4 pagi nanti. Tetapi terperasan seorang makcik mundar-mandir dalam keadaan runsing. Tidak sedap hati, saya berpatah balik ke arahnya. "Makcik okay?"

Seperti dijangka, dia mencari khemahnya. Malang sekali dia tidak memakai tag pengenalan haji dan membawa telefon bimbit. Saya menuju khemah petugas haji. Ternampak beberapa orang petugas haji lelaki sedang tidur kelelahan di luar khemah. Manakala salam yang diberi dari luar khemah tidak berjawab Mungkin semuanya sedang lelap.

Saya cuba menelefon suami tetapi tidak bersambut. Sudah hampir satu jam saya menemani makcik ini. Jam 3.15 pagi ternampak rakan jemaah yang dikenali dan saya meminta bantuannya. Rakan itu menuju khemah petugas dan meminta senarai nama. Alhamdulillah, barulah kami dapat carikan lokasi tempat tinggal makcik ini. 

Subhanallah, khemah makcik ini hanya di belakang tempat kami berdiri. Saya pandu sehingga ke tempat tidurnya. Lega. Pulang ke khemah sudah hampir waktu subuh. "Aina, awak baru sampai?" tanya KB. Saya ceritakan apa yang berlaku. Masing-masing menggelengkan kepala. 

Tawaf - jalan kaki versus skuter

 Allah ya Allah. Tiba juga saya ke masjidilharam. Air mata bercucuran tanpa mengira orang sekeliling Inilah jalan kaki paling jauh dalam hidup saya setakat ini. Semua itu tidak dihiraukan sebaliknya fokus kepada menunaikan rukun haji sesempurna mungkin. Keringat yang membasahi badan terasa lega tatkala menjejakkan kaki ke pintu masjid. Suami menepuk-nepuk bahu saya, "100 meter di rumah pun sayang mengah nak jalan, inikan pula 12 kilometer! Masya-Allah. Moga dapat haji mabrur." Segala puji bagi Allah.

Jalan kaki ke Makkah

"Satu kepala 50 riyal." Terangkat kening mendengarnya. Apa nak buat. Itu harga yang diletak. Saya dan Izzati menunggu orang lelaki pergi mencukur kepala. Kami pula menunggu di tepi kedai Al-Baik. Kehausan selepas berjalan jauh melontar jamratul aqabah tadi. Sempat sambar nugget dan minum air sejuk di tepi jalan (tanpa tahu itulah permulaan masalah bagi saya beberapa hari kemudiannya!). Saya melihat sekeliling. Ramai sungguh jemaah haji.

Maklumlah. Ini hari pertama melontar. Berpusu jutaan manusia dari seluruh dunia. Tetapi Maha Suci Allah, tetap ada ruang untuk kami bergerak di sini. 

Pintu 88

"Kak Aina duduk mana? Ada tempat belajar mengaji? Kita tak pernah jumpa pula."
Seorang rakan jemaah memberi respon di status WhatsApp. 

Hajjah 827

 Kesemua ahli bilik kami sudah siap berkemas. Dr Nurma, Kak Su, Makcik Hanum dan Makcik Juwita sudah bersiap dengan bagasi masing-masing. Kami bergambar kenangan terlebih dahulu sebelum bergerak turun ke lobi. Selepas ini, masing-masing akan berpisah bilik apabila berada di Makkah. Dr Nurma dan Kak Su akan ke bilik lain manakala saya dan dua orang lagi akan menjadi teman sebilik di Makkah. Biar pun sekejap sahaja menjadi teman, semuanya baik dan saling membantu alhamdulillah.

Antara sunnah dan bidaah

 "Baca Quran sahaja. Baca Quran sahaja."

Begitu suara yang menegur sekumpulan jemaah warga Asia yang sedang melagukan qasidah di dalam masjid. "Mereka baca apa?" Soalan diajukan kepada suami yang berjalan beriringan dengan kumpulan itu tadi. "Mereka baca qasidah. Tak boleh buat begitu. Sunnahnya baca al-Quran bukan menyanyi di dalam masjid."

Meriah Madinah

 Malam ketiga di Madinah, kami keluar masjid dari pintu yang lebih jauh. Biasanya pintu 328 menjadi tempat berjanji untuk pertemuan kembali pulang dari masjid sebab itu yang lebih dekat dengan Hotel Saja kami. Langit Madinah cerah. Suasana malamnya juga meriah dengan suara kanak-kanak bermain di dataran. Ada banyak deretan kiosk berbatu tersusun seragam di sekitar Masjid Nabawi. 

Baru juga saya ketahui orang perempuan Saudi sudah dibenarkan keluar bekerja. Yalah, jam sudah menghampiri 10 malam tetapi di kaunter kedai masih lagi sibuk dengan pelanggan berjual beli. Jika dahulu pekerja semuanya lelaki, kini tidak lagi.

Astaudiukumullah.

 "Ikhlaskan. Orang yang pergi haji memang berniat tidak akan kembali lagi. Jika boleh mati di sana, itu lebih baik."

Lebat tangisan diri tatkala mendengar amanat suami. Hati hiba mengenangkan anak kecil yang masih menyusu badan itu berada jauh di selatan tanah air tatkala kami melangkah kaki keluar rumah memulakan perjalanan ke Movenpick, Sepang. Kaum keluarga, sanak saudara, jiran terdekat serta rakan-taulan hadir mengiringi bacaan doa pada pagi itu. Subhanallah. Terima kasih semua yang mendoakan serta membantu. Hanya Allah dapat membalas sebaik-baik ganjaran.

Melihat kelibat mak ayah dan mentua, doa dipanjatkan agar semuanya sihat sejahtera dan dipanggil menjadi tetamu-Nya dalam keadaan terbaik. Sungguh masih ada rasa serba-salah apabila mak ayah belum menerima panggilan haji tahun ini sebaliknya kami pergi dahulu. "Jangan susah hati. Insya-Allah Allah bagi yang terbaik. Doakan mak ayah," ucap emak menenangkan kami.

Restu mak ayah

 "Tuan, puan boleh masukkan nama ahli keluarga yang membuat rayuan haji tahun ini," ujar pegawai Tabung Haji di kaunter. Saya segera mengiakan. Borangnya telah saya isi awal-awal dengan mengisi enam nama ahli keluarga termasuk diri sendiri dalam borang menunaikan haji. Saya letakkan nama suami, mak ayah saya, kakak ipar serta suaminya. Pegawai terus menyemak seperti yang disebut dan berkata, "Keputusan ini akan diketahui sebelum tarikh akhir rayuan ditutup. Kami pun tak tahu siapa yang dapat, siapa tak dapat. Berdoalah."

Wasiat untuk anakanda

 "Jangan lupa wasiat untuk anak-anak," pesan saya kepada suami. Beliau selesai menyusun beg di tepi pintu. Esok kami akan bertolak ke Movenpick dihantar oleh rakan. Hati yang berbalut resah semakin tenang megenangkan semua persiapan sudah siap. Anak-anak sudah pulang ke rumah nenek manakala dua orang yang kecil sudah berada di Muar. Ya Allah, semoga  mereka baik-baik sahaja tidak menyusahkan orang yang menjaganya.

Anak-anak duduk dengan siapa?

 Libang-libu hati dengan pelbagai urusan. Semakin hampir tarikh akhir, semakin sesak kepala dirasakan. Bertenang. Istighfar. Itu yang dilakukan sesungguh hati sekarang. Bulan puasa juga terasa pantas berlalu. Waktu malam apabila semua orang sudah tidur, saya masih memikirkan dengan siapa anak-anak akan tinggal sepanjang permusafiran kami. Adakah ke sekolah tahifz berasrama atau tinggal bersama nenek dan datuk? Siapakah yang sanggup menjaga kesemua enam orang anak ini?

Thursday, September 7, 2023

Silaturrahim

 "Ya Sheikh, jemput ke rumah saya esok petang!"

Saya yang sedang memilih jubah menoleh ke arah penutur bicara itu. Kelihatan salah seorang pekerja sedang seronok berbual dengan suami. Di dalam fikiran saya ligat berfikir. Sekiranya menerima jemputan, pastilah kami perlu penuhi dan ajakan ini bukan sekadar ajak-ajam ayam, bukan? Wah, macam mana boleh diajak ke rumah?

Rahsia Jodoh

Tengahari itu, suami muncul di hotel dengan membawa pulang buah tangan. Saya yang baru kebah dari demam duduk bersama mencicip roti dan ayam yang diberi. Diceritakan beliau pulang berjalan kaki dengan seorang jemaah dari Bangladesh. Cuaca terik dan pakcik itu menawarkan payung yang dibawa. Beliau datang menunaikan haji seorang diri. Isterinya baru meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji. Hiba hatinya, isteri anugerah ilahi, apabila tiada terasa pengorbanannya, dan sukar dicari ganti.

Teringat Surah ar-Rum ayat 21,

 "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan." 

Kad ATM Tak Boleh Guna

"Hajah dan haji, sebelum berangkat ke Makkah esok, pastikan ada sedikit bekalan wang tunai jika perlu kerana mesin ATM di sana agak jauh dan sukar sedikit untuk buat pengeluaran. Pastikan juga keluarkan wang di mesin ATM al-Rajhi bagi memudahkan lagi urusan," pesan pegawai Tabung Haji semasa memberi taklimat di Hotel Saja Madinah. 

Tetapi, bagi jemaah haji yang sudah pun mengaktifkan penggunaan kad bank Islam semasa di Malaysia, boleh sahaja membuat urusan pembelian dan pembayaran menggunakan kad. Ia lebih ringkas dan memudahkan bagi sesetengah orang.

'Fast food' Arab

Kepala ayam yang berjambul merah dan putih itu saya lihat ada di beberapa tempat di sini. Al-Baik namanya. Mungkin makanan segera di sini. Ada juga KFC, McDonalds, Burger King dan seumpamanya. Sama seperti di tempat kita. Namun, peluang mencuba makanan di sini pasti tidak dilepaskan. Dapat pula pasangan yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab, panjang langkah di sini jadinya. Tetapi saya tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada suami. 

Ada waktu ruangan perempuan dikhususkan dan boleh berurusan sendiri. Masalah bahasa? Insya-Allah tiada. Sebahagian besar pekerja di sini boleh berbahasa Indonesia. Memudahkan orang seperti saya yang tidak mahir berbahasa arab. Hidangan al-Baik yang sedap seperti ayam goreng, nugget dan burgernya. Portion mereka besar. Terkejut waktu pertama kali membeli. Boleh dikongsi dengan rakan sebilik seramai lapan orang itu. 

Nasi Unta

Badan terasa lemah. Tekak juga berasa tidak selesa. Nampaknya ini menunjukkan tanda-tanda mahu demam. Saya memejamkan mata semula. Antara dengar tidak dengar sahaja bunyi loceng di pintu. Ding dong! 

"Aha, bunyi sekali sahaja tu. Mesti suami Aina," rakan sebilik menyahut. Saya senyum. Semua sudah peka dengan bunyi loceng pintu sebab setiap pasangan mereka ada trademark masing-masing. Cikgu Redzuan dengan suara nyaring memanggil isterinya, "Anommm." En Zarof dengan ketukan berirama di pintu memanggil Kak Zara dan Mail dengan panggilan "Sayang..." untuk isterinya KB. Begitulah ragamnya.

Puasa

"Ada kurma lagi? Bawa sekali." Suami mesej sekitar 2 pagi. Beg sandang merah saya periksa. Botol air zam zam, sebotol air ekstra, ubat, kurma, roti, coklat, tisu dan pen. Semua lengkap. Kami mula berjalan santai menuju masjid. Jemaah semakin memenuhi Makkah. Maklumlah, baru lepas haji. Jadi kota ini sentiasa hidup. Saya fikirkan tiada orang tidur ibaratnya. 

Langit Haram terang-benderang. Tawaf di Kaabah sentiasa penuh walaupun tengah malam. Subhanalllah, alhamdulillah, allahuakbar. Ikutkan kiraan, 2 pagi ini sudah lewat untuk kami ke masjidil haram untuk solat Subuh. Jika tidak, terpaksa maraton mengejar pintu sebelum pagar ditutup. Ya Allah, rezekikan kami mendapat tempat untuk solat di dalam masjid-Mu.

Pemurahnya orang Arab

 Di sini, hati terasa tenang. Orang di sekeliling juga baik-baik. Tidak kira warna kulit hitam, putih, coklat, merah jambu tidak begitu kekok memberi salam di jalanan. 

Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian (Hadis riwayat Muslim)

    Di jalanan, banyak sekali air minuman disedekahkan kepada pejalan kaki atau jemaah haji. Sungguh, ia suatu kesyukuran yang besar. Ada di kalangan mereka yang sudah berjalan kaki berpuluh batu, dahaga pasti menguasai kerongkong. Alangkah sejuknya menerima bekalan air ketika suhu memuncak ketika ini? Barakallahufik buat semua dermawan.

Monday, August 21, 2023

Melontar jamratul aqabah

 Mina. Sebuah kawasan lapang yang dibina khemah-khemah penginapan sementara buat jemaah haji seluruh dunia. "Kobis" ialah lambang maktab kami di sini. Jika sudah terlebih daripada kawasan Kobis, bermakna anda perlu berpatah balik. Maktab 80 hanya dalam lingkungan ini sahaja. Tabung Haji cekap membantu memudahkan dengan adanya label dan penunjuk arah. Namun, berlaku juga kejadian sesat jalan. Terutama buat warga emas yang tidak membawa tag nama masing-masing. 

Usai solat Subuh, saya bersarapan ringan sekadar mengalas perut kerana akan keluar melontar pada pagi ini. Minuman manis jarang saya teguk kecuali kurma dan air zam zam. Sedikit bekalan roti dan air mineral dimasukkan ke dalam beg sandang. Cermin mata hitam dipakai dan botol spray dipenuhkan. Botol ini penting kerana cuaca yang panas menyebabkan kulit jadi kering dan terasa bahang. Semburan air ke muka mampu melegakan.

Mabit di Muzdalifah

 Berakhirnya hari wukuf. Saya kembali ke khemah D menjelang maghrib. Selepas maghrib kami akan bergerak untuk mabit di Muzdalifah. Kami perlu berada di sana sepanjang malam 10 Zulhijjah atau sekurang-kurangnya sehingga tengah malam untuk mengambil pahala sunnah bermalam di Muzdalifah. Mabit adalah berhenti sejenak atau bermalam beberapa hari untuk mempersiapkan segala sesuatu dalam pelaksanaan melontar Jamrah yang merupakan salah satu wajib ibadah haji (shafiqoblu.wordpress.com)

Pentingkan diri

 "Kau nak bawa ke mana beg aku tu?"

Suara makcik kedengaran jelas. Rakan-rakan baharu di sekelilingnya sedang sibuk membantu beliau. Makcik ini tiba-tiba sahaja berubah watak. Meskipun tidak saling mengenali, tetapi saya memuji tindakan pantas dan kerjasama mereka. Makcik ini datang tanpa waris. Urusan dirinya tidak begitu sempurna maka rakan di sekeliling tampil membersihkan beliau. Pihak Tabung Haji pun tidaklah dapat berada di sisi setiap masa. 

Hari Wukuf

 Hari kemuncak yang ditunggu-tunggu. Inilah hari yang menjadi penentu. Ikutkan hari wukuf akan bermula Zohor sehingga sebelum Maghrib (selepas asar sehingga menjelang tengah malam jika di Malaysia). Hari-hari menjelang hari wukuf memang mencabar. Suhu berada di antara 40 darjah celcius sehingga 54 darjah celcius. Ada yang bertanya, tak panaskah? Panas. Memang panas. Tetapi saya fikir Allah memudahkan semuanya. Mungkin badan sudah adaptasi dengan cuaca di sekitar.

Saya meninggalkan khemah seawal waktu dhuha. Tanpa lengah mengikut langkah suami menuju kawasan berpagar di seberang jalan. Mengikuti langsung khutbah hari Arafah yang disampaikan oleh Dato' Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman di sebuah khemah sebuah agensi travel swasta. Hati berdebar dan bersemangat. Tidak pernah menjangkakan Allah izinkan melalui hari wukuf di Arafah. Sangat berbeza suasana dengan keadaan di tanah air.

Antara intipati khutbah hari ini ialah perjalanan menunaikan haji bermula pada hari kelapan bulan Zulhijjah yang dipanggil hari tarwiah, hari kesembilan disebut hari wukuf atau hari Arafah, hari ke-10 dikenali dengan hari raya akbar, hari ke-11 ialah hari tasyrik pertama atau ÙŠَÙˆْÙ…ُ القَرِّ iaitu hari bertenang, hari ke-12 ialah hari tasyrik kedua atau hari nafar awal iaitu hari pulang awal, hari ke-13 ialah hari tasyrik ketiga iaitu hari nafar awal dan hari ke-14 Zulhijjah ialah hari pulang dari menunaikan haji. Apabila seseorang dapat menyempurnakan hajinya, itulah bahagia selamanya.

Sebak Dalam Debar

Apakah yang diharapkan daripada menunaikan haji?

Berharaplah untuk dapat anugerah haji mabrur. Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.

 Persiapan menuju Arafah telah dibuat dua hari sebelum ini. Jemaah haji akan dipanggil turun menaiki bas mengikut giliran. Land Premium mempunyai 13 tingkat dan semua bekerjasama dengan  baik. Kami masih lagi dengan bas nombor 5. Mak mentua sahaja dapat kami hubungi melalui panggilan video. Suasana sayu mengambil tempat. Kami memohon mak ayah mendoakan kami dipermudah urusan, kesihatan dan mendapat haji yang mabrur. Bagi mak ayah saya, kami dapat rekodkan video sahaja sementelah ada masalah dengan kad sim kami yang baharu.


Sunday, August 20, 2023

Umrah wajib

 2.15 petang 7 Jun 2023 kami berhenti di Masjid Bir Ali untuk miqat. Kami bersiap-siap berniat menunaikan umrah dan kini semua jemaah tertakluk kepada rukun umrah dan perlu mematuhi 13 larangannya. Disebabkan masih uzur syarie ketika sampai di Makkah, suami menunggu supaya dapat melakukan umrah wajib bersama saya. Tak sabar mahu menunaikan umrah. Ia pertama kali dalam hidup.

Rokok

 Madinah ditatap sepuas-puasnya. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini. Umrah pun saya belum pernah tunaikan maka peluang menunaikan haji saya cermati dengan sungguh-sungguh. Hari pertama lagi saya sudah terkejut. Baik jemaah haji kita mahupun penduduk di Madinah, ada sahaja yang berani menghisap rokok. Teringat hadis Nabi SAW yang mengingatkan kita :


Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Teman 604

Maklumat hotel di Mekah telah kami terima melalui pelekat putih yang diberi oleh pihak Tabung Haji semasa di Madinah. Pelekat ini saya lekatkan pada bagasi, kad matrik dan beg sandang. Di antara kami berlima di Madinah, berpecah kepada 2 bilik. Kak Su dan Dr Nurma ke bilik lain manakala saya, Cik Anum dan Cik Juwita ditempatkan di bilik 604. Saya dan suami mencari bilik penginapan. Oh, rupanya kami bersebelahan bilik sahaja. Dia di 603. Alhamdulillah.

Masuk sahaja pintu 604, suasana meriah dengan rakan sebilik yang sedang berkemas. Semua sudah sampai nampaknya.

Saturday, August 19, 2023

Maktab 80 Hotel Land Premium

 "Hotel kita tak jauh dengan masjidilharam. 960m sahaja," ucapan petugas Tabung Haji membuatkan suasana jadi hingar-bingar. Jemaah Haji Malaysia tahun ini ada di empat zon A, B C dan D. Dikatakan hotel kami jarak terjauh berbanding hotel lain. Saya dan suami ditempatkan di Maktab 80 dan akan tinggal di Hotel Land Premium. Saya hanya diam menerima taklimat. Belum terbayang keadaan di Makkah nanti. Suami yang sedikit bimbangkan saya. Semoga asthma tidak menjengah sepanjang 47 hari ini.

Bertolak ke Makkah

Beg kecil merah saya silangkan pada badan. Beg sandang berwarna hijau pun sudah sedia. Kami menunggu giliran dipanggil turun ke lobi hotel. Jangkaan memulakan perjalanan ke Makkah ialah pukul 2.00 petang nanti. Saya melihat jam dan mengira waktu di Malaysia. Panggilan video dibuat ke rumah. Memaklumkan perjalanan kami sebentar lagi. Air mata menitis tetapi cepat-cepat diseka. Tidak mahu orang di rumah bimbangkan kami. Tepat jam 2.00 petang semua jemaah bas nombor 5 sudah bersedia di dalam bas.

=========

Beg-beg pakaian jemaah perlu disiapkan awal kerana beg akan berangkat dahulu sehari sebelum perjalanan. Pelekat perumahan dan tag pada beg masing-masing diedarkan oleh pegawai Tabung Haji. Pelekat dan tag lama dari Madinah perlu dibuka menggantikan tag yang baharu. Kami dinasihatkan supaya menggunakan beg merah berisian 5kg itu sahaja untuk tempoh 8 hingga 13 Zulhijjah ini. Tidak perlu membawa banyak barang memandangkan perlu berpindah-pindah lokasi dan meminimumkan tenaga untuk fokus kepada perjalanan haji.

Saya mengingatkan supaya kain ihram dan kelengkapan bermalam (satu malam) di Arafah diasingkan siap-siap bagi memudahkan jemaah. 


Rabu 7 Jun 2023

Pagi ini 357 orang jemaah KT048 memulakan perjalanan menuju Arafah mengikut pelan perjalanan yang dirancang oleh Tabung Haji. 

Persediaan dhufuyurrahman

 Dalam keadaan masih risaukan akaun TH yang belum cukup tabungannya, sebuah buku nota khas disediakan bagi mencatat segala-galanya. Daripada urusan rasmi, urusan kerja hakiki, senarai barang, persekolahan anak-anak, belanjawan di sana dan keluarga yang ditinggalkan dan curhat ala-ala diari. Beberapa orang kenalan terdekat yang sudah menunaikan haji tampil dengan sukarela memberi bantuan. Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan pertolongan itu.

Menerima surat tawaran

Puasa sudah, Syawal pun sudah. Kami masih menunggu jawapan daripada pihak Tabung Haji akan rayuan suami menjadi mahram. Suasana Aidilfitri tahun ini dirasakan berbeza. Saya melaluinya dengan rasa sederhana dan membuat persiapan untuk menjadi tetamu Allah. Hakikatnya banyak perkara yang difikirkan. Salah satunya ialah persediaan mental sekiranya suami tidak dapat ikut menunaikan haji. Buku Cerita Haji Kami yang diselenggara oleh rakan penulis, Pn Nor Azzah ada sebuah cerita daripada seorang penulis yang menunaikan haji secara solo.

Tahniah, rayuan anda diterima!

 Usai solat Asar, saya terus masuk dapur mahu menyediakan juadah berbuka puasa. Suami ke masjid manakala anak-anak masih di kelas tahfiz. Telefon pintar bergetar. Terus saya buka. Tertera paparan SMS :

RM0 Tuan/puan Terpilih tunai haji pada tahun 1444H. Sila layari www.thijari.com.my untuk jawab tawaran tunai haji. Untuk pertanyaan, hubungi THCC 0362071919




Cemas

 

Tempoh 10 hari akan berakhir menjelang hari Khamis, 20 April 2023. Ia menjadi lebih singkat apabila kerajaan mengumumkan cuti tambahan perayaan bagi semua sektor kerajaan. Saya panik. Sudah masuk hari ketujuh wang belum memenuhi tabung. Doa dan terus berdoa agar duit yang kami usahakan dapat memenuhi syarat. Sungguh, pergantungan sepenuhnya kepada Allah membuatkan diri sangat kerdil dan insaf.


18 April 2023

Sujud syukur saya apabila tabungan telah penuh dan melayakkan saya menerima tawaran haji. Allah ya Allah. Untuk makluman, apabila ditawarkan tempat menunaikan haji pada tahun 2023 ini, jumlah duit di dalam akaun mesti mencukupi sebelum boleh menekan butang terima. Selagi wang tidak cukup, selagi itu proses seterusnya tidak akan berlaku. Selesai sahaja memenuhi syarat bayaran, barulah kad kesihatan jemaah haji diberikan. Jemaah haji perlu menyelesaikan pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat untuk ke tanah suci.

Shawarma

 "Ya Allah, janganlah makanan menjadi isu besar kepada kami semasa berada di sana." Doa yang diulang-ulang sejak menerima tawaran haji. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar di sana. Makanan muassasah yang disediakan oleh Tabung Haji sedap belaka. Makan tengahari dan makan malam disediakan tepat waktunya dan kami perlu mengambilnya di Lantai M, Hotel al-Saja Madinah.

Bau harum shawarma menusuk ke hidung. Waktu itu kami dalam perjalanan menuju Masjid Quba'. Perut terus berkeroncong minta diisi. Maklum, selepas Subuh tadi hanya makan kurma dan air zam zam. Not 10 riyal bertukar tangan. Senyum bahagia saya mendapat shawarma. Suami pun menggelengkan kepala. Memang ini makanan kegemaran sejak dari Malaysia tetapi jarang dapat merasa.

Menuju raudhah

 "Ingat ya, hashtag masuk raudhah jangan berlari," nasihat seorang teman sebilik kami sambut dengan ketawa kecil. Ada kisah disebaliknya.

Raudhah, taman syurga yang menjadi impian setiap orang yang datang ke sini. Masing-masing mahu memasuki dan berdoa di dalamnya.

Hujan rahmat

    Umum mengetahui cuaca panas di bumi Haramain ini sangat jarang disimbahi hujan. Berbanding kita di Malaysia dengan iklim Khatulistiwa menerima hujan sepanjang tahun. Sungguh, bahang panas di sini membuatkan diri mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita berupa hujan. Awal-awal berada di sini, saya akan segera memakai mask atau niqab dan cermin mata. Keluar sahaja dari pintu hotel, terasa haba panas dari jalan raya naik terus ke hidung dan muka. 

    Tik, tik, tik.

    Ramainya orang keluar ke luar bangunan. Masya-Allah, hujan turun.

Jaulah ke Masjid Quba'

 "Dahulu Rasulullah SAW berjalan ke Masjid Quba' pada hari Sabtu dan menunaikan solat sunat dua rakaat di sana." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

    "Selepas subuh bersiap. Kita sarapan di luar dan jalan kaki ke Masjid Quba'," pesan suami usai pulang dari Masjid Nabawi. Saya hanya mengangguk. Kepala terasa berdengung. 'Ini petanda tak cukup tidur'. Terasa bimbang tekanan darah naik tetapi saya berdoa supaya sihat-sihat sahaja. Sebelum keluar, rakan sebilik dimaklumkan supaya mereka tahu keberadaan kami. Ada yang berehat di bilik sahaja memandangkan kami baru sahaja sampai tengah malam tadi.

Ya Rasulullah, kami hadir ke masjidmu

    Usai mendarat jam 12.30 pagi waktu Madinah, perasaan sebak bercampur teruja masih mendominasi diri. Kami memberi laluan kepada penumpang lain untuk turun dahulu. Ternampak seorang anak istimewa berkerusi roda bersama ayahnya menaiki bas lapangan terbang terlebih dahulu. Senyum sahaja dia sambil dibantu staf penerbangan. 

    "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada kejahatan ciptaan-Nya." Lafaz tiga kali perlahan saya tuturkan. Ia sunnah nabi apabila berhenti di sesuatu tempat.

Thursday, August 17, 2023

Rayuan haji

Cita-cita menunaikan haji bagaikan mustahil untuk dicapai. Perlukan wang yang banyak, tidak cukup ilmu agama dan bimbang perkara aneh berlaku menjadi penghalang untuk ke sana. Namun, Allah Maha Baik sentiasa memperingatkan hamba-Nya ini melalui kenalan di sekeliling. Melihat seorang demi seorang ahli keluarga mendapat panggilan haji juga berjaya mengetuk pintu hati ini.